Mabesnews.com, Kuala Terengganu – Tulisan ini merupakan Kekajian Peserta Program Kesukarelawanan Belia Pembanteras Dadah (KBPD) Kuala Terengganu yang dipaparkan Md. Sontang Ahmad1, Abdul Manan Al Merbawi1, Dara Aisyah H.M.Ali Puteh2, Norizan Abd.Ghani1.
TAZKIAT Al-nafs merupakan gabungan antara ilmu dan amal. Tazkiyat al-nafs terdiri daripada dua perkara iaitu
takhliah dan tahliah. Takhliah bermaksud membuang sifat-sifat tercela pada diri manusia manakala tahliah
pula bermaksud menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji.
Kedua-dua perkara penting ini tidak akan tercapai dengan sempurna tanpa ilmu dan amal. Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
lmu tanpa amal adalah kerugian manakala amal tanpa ilmu adalah kekosongan. Walau bagaimanapun ilmu perlu didahulukan daripada amal. ilmu adalah seumpama imam yang diikuti manakala amal seumpama makmum yang mengikuti imam.
Ruhani manusia yang terhijab dan tidak menjalani proses tazkiyat al-nafs akan dihinggapi berbagai penyakit ruhani yang akan merusakkannya. Punca segala penyakit hati itu ialah cinta dunia (kesenangan terhadap duniawi yang membawa kepada kerosakan agama dan moral seseorang ).
Karena itu langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha melakukan tazkiyat al-nafs ialah mendapatkan ilmu. Mendapatkan ilmu, sebagaimana yang diketahui ramai, merupakan satu kewajiban setiap muslim.
Ilmu yang perlu dipelajari ialah ilmu yang menjelaskan tentang persoalan mengenal Tuhan (tawhid/usuluddin), ilmu yang menerangkan tentang peraturan-peraturan atau hukum-hukum mu`amalah (fiqh) dan ilmu yang membicarakan tentang masalah-masalah keruhaniaan (tasawwuf).
Seseorang yang serius melakukan tazkiyat al-nafs kebiasaannya akan mengalami intibah (kesedaran ruhani). Keadaan ini berlaku disebabkan hijab-hijab yang menutup hati mula terangkat sedikit demi sedikit menyebabkan basirah (penglihatan mata hati) sedikit demi sedikit terbuka sehingga dia dapat melihat atau menyaksikan hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan dengan yakin.
Kesedaran ruhani ini akan menggerakkan seseorang itu untuk kembali ke jalan Allah yang selama ini diabaikan atau tidak dipedulikan. Ia akan menyedarkan seseorang itu tentang kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang lalu. Keburukan perangainya dan kecuaiannya dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap Tuhan dan manusia seluruhnya. Ia mendorongnya untuk bertaubat dan seterusnya beramal soleh serta berkhidmat dengan jujur.
Kesedaran ruhani ini juga akan menyedarkan seseorang itu tentang kejahilan, kejauhan dan kelalaian dirinya terhadap Tuhannya.
Kesedaran ini akan menggerakkannya untuk mengenali Tuhan dengan lebih dekat sehingga pengenalan terhadap Tuhan menjadi semakin jelas dan keyakinannya terhadapNya semakin kuat.
Dia mula merasai ketenteraman ruhani dan ketenangan jiwa yang sebenar yang lahir daripada ruhani yang bersih berpunca daripada pengenalan, pegangan dan keyakinan hati yang kuat terhadap Tuhan.
Kesedaran ruhani ini juga menjadikan seseorang itu mula mengenali hakikat dunia. Dunia yang penuh dengan tarikan, perebutan dan kebanggaan ini sudah tidak menjadi kegilaan dan rebutan bagi dirinya. Dunia yang fana ini hanyalah sebagai perantaraan, peralatan dan jambatan baginya menuju akhirat yang kekal. Semua ini adalah proses pemurnian dan peningkatan martabat keruhanian manusia sehingga dia menjadi hamba Allah yang sebenar atau dengan kata lain mencapai kesempurnaan maqam ‘ubudiyyah.
(bay)