Metod Tasawwuf Dalam Membina  Kesedaran Hati 

Lainnya164 views

Mabesnews.com- Kuala Terengganu – Tulisan ini merupakan Kekajian Peserta Program Kesukarelawanan Belia Pembanteras Dadah (KBPD) Kuala Terengganu yang dipaparkan Md. Sontang Ahmad1, Abdul Manan Al Merbawi1, Dara Aisyah H.M.Ali Puteh2, Norizan Abd.Ghani1

TASAWWUF merupakan satu cabang ilmu keislaman yang diakui kebenarannya, Tasawwuf sebenarnya merupakan saripati atau jiwa agama. Penamaan Tasawwuf baru muncul dalam dunia Islam, namun pengetahuan dan pengamalan Tasawwuf sudahpun wujud semenjak dari zaman Nabi SAW.

Tasawwuf adalah kemurnian dan kesucian zahir dan batin. Tasawwuf dikenali dengan nama ilmu ihsan, ilmu nafi, ilmu batin atau ilmu di dalam hati (fi al-qalb). Pencapaian Tasawwuf akan mewujudkan ikatan yang teguh dalam konteks hubungan manusia dengan Tuhan penciptanya, hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.

Berasaskan konteks hubungan manusia dengan Tuhannya, Tasawwuf ternyata memantapkan keimanan dan keyakinan serta memperteguhkan pendirian. Perkara ini dapat difahami apabila batin manusia bersih dari kekotoran sifat-sifat yang tercela dan dari kecintaan terhadap sesuatu yang lain dari Allah, akan terpancarlah (tajalli) cahaya kebenaran ilahi di dalam hati. Kesannya manusia dapat menyaksikan hakikat kebenaran Allah dan kepalsuan sesuatu yang lain dariNya dengan terang dan nyata.

Tasawwuf merupakan penyempurna kepada agama itu sendiri di mana ia memberikan nilai tambahan terhadap keimanan dan keislaman. Akar-akar tasawwuf dalam Islam merupakan penjabaran dari ihsan. Ihsan merupakan bagian dari trilogi ajaran Islam. Islam adalah satu kesatuan dari iman, islam dan ihsan. Islam adalah penyerahan diri kepada Allah secara zahir, iman adalah i’tikad batin

Sedangkan ihsan adalah komitmen terhadap hakikat zahir dan batin. Oleh itu ilmu mesti diamalkan, dan untuk kesempurnaan amal, mesti harus ikhlas, manakala ikhlas adalah seorang hamba yang dengan ilmu dan amalnya tidak mengharap selain keridaan Allah. Keperluan ihsan kepada belia peserta program KBPD diusahakan melalui pendidikan tasawwuf untuk mendidik hati mereka dalam menjalankan amanah di masa hadapan.

Belia adalah makhluk yang diberikan kemuliaan oleh Allah sebagai manusia, terdapat dua unsur yang membentuk diri belia iaitu unsur ruhani (roh) dan jasmani (jasad) dan di antara dua unsur ini terdapat satu bentuk hubungan yang khusus. Roh adalah diri manusia yang sebenar manakala jasad hanyalah tempat bagi roh itu.

Rohlah yang sebenarnya merasai kebahagiaan dan kesengsaraan, ketenangan dan kegelisahan, kesenangan dan kecelakaan. Sihatnya roh bererti kebahagiaan dan ketenangan bagi diri manusia manakala sakitnya roh bererti kesengsaraan dan penderitaan bagi dirinya itu.

Sesungguhnya kerosakan, kecelakaan dan kebinasaan seseorang itu adalah berpunca daripada kerosakan ruhaninya. Hati yang baik adalah hati yang suci, hati yang bersih dari kecintaan kepada selain Allah. Membersihkan hati maknanya adalah menghapus dari hati kecintaan pada dunia, dan hal-hal duniawi, serta menghilangkan darinya segenap kesedihan, kedukaan, dan kekhawatiran atas segala sesuatu yang tidak berguna. Renungan terhadap hidayah al-Rasul SAW dalam sabda baginda dapat mendedahkan hakikat ini. Rasullullah SAW telah bersabda :

أَلَاْ وَاِنَّ فِيْ الْجَسَدِ مُضْغَةً اِذَاْ صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَاْ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَاْ وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya : Ketahuilah sesunggunya dalam tubuh manusia itu ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah, itulah hati.

Tasawwuf merupakan jalan untuk memperkukuhkan keimanan dengan menanam kalimat tawhid ke dalam hati setiap insan. Tawhid merupakan dasar dan intipati agama. Keteguhan tawhid menyumbang kepada kekuatan keimanan, kesuburan amal dan keindahan akhlak atau dengan kata lain membawa kepada keutuhan pribadi muslim.

Menurut al-Ghazali, ada tiga tahapan yang perlu dilalui dalam usaha mengukuhkan tawhid iaitu penanaman, pengukuhan dan pembersihan hati. Tawhid pada asasnya bermaksud mengesakan iaitu mengesakan Allah SAW, pada sifat-sifat ketuhanan-Nya, di mana ia melibatkan perasaan hati dan penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan.

Pencapaian hakikat tawhid yang sebenar akan meninggalkan kesan terhadap pandangan ruhani seseorang itu. Seseorang tidak akan terpengaruh, tidak memandang, tidak mengharap dan tidak bergantung lagi kepada makhluk disebabkan kerana hatinya memandang dan bergantung hati kepada Allah SWT., serta hatinya berkecenderungan untuk mencari keredaan-Nya.

Sifat tidak memandang dan tidak bergantung kepada makhluk sebagai natijah dari pencapaian tawhid yang benar memang diakui kebenarannya dalam ilmu Tasawwuf. Perkara ini dapat dilihat pada huraian tokoh-tokoh sufi terkenal, antara mereka ialah Shaykh Abu Yazid al-Bistami, menjelaskan bahawa ahli tawhid itu ialah orang yang tidak melihat kepada yang lain selain Allah, tidak memandang kecuali kepada Allah, tidak mendengar kecuali yang datang dari Allah, tidak memahami kecuali yang datang dari Allah, tidak duduk kecuali beserta Allah, tidak bertutur kecuali dengan Allah, tidak mengasihi kecuali pada jalan Allah, tidak tunduk kecuali kepada Allah dan tidak bersyukur kecuali yang datang dari sisi Allah.

Penjelasan al-Bistami ini menunjukkan bahawa ahli tawhid yang benar-benar mencapai hakikat tawhid itu sentiasa asyik dan tenggelam dalam memandang kepada Allah dan mencari keredaan-Nya sehingga tidak lagi memandang, bergantung dan terpengaruh dengan makhluk.

Kedudukan hati seseorang, apabila bertawhid sehingga ke peringkat ini, maka akan membawa kepada tercapainya keikhlasan yang sebenar iaitu tidak ada lagi penyelidikan, tumpuan, pandangan dan tujuan yang lain daripada Allah dalam melakukan semua amalan ketaatan (al-Qushayri,1990), demikian juga ia membawa kepada `ubudiyyah yang berterusan iaitu basirah sentiasa memandang ke hadrah Allah (‘Ata ‘Abd al-Qadir Ahmad.1987).

Keteguhan hati dalam bertawhid merupakan jalan untuk memperkukuhkan keimanan dengan menanam kalimat tawhid jauh ke dalam lubuk hati dan perasaan dengan cara memperbanyakkan sebutannya (zikir) sehingga hati itu menjadi bersih dan disinari dengan nur iman. Hati yang disinari nur iman akan melihat kesempurnaan sifat-sifat-Nya serta merasakan kedekatan dengan-Nya, menyedari keluasan rahmat dan kedalaman hikmat-Nya, meyakini kebenaran agama-Nya, dan terdorong kuat untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, inilah intipati ajaran Tasawwuf dan inilah maqam ihsan yang disebut dalam hadis.

Pencapaian maqam ihsan yang membawa kepada kekuatan keyakinan dan kemurnian amalan. Pencapaian maqam ihsan ini menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam pengabdian diri kepada Allah SWT dan sentiasa menyedari serta merasakan dirinya berhadap kepada Allah SWT dan berada dalam tilikan serta pengawasan-Nya. Semua ini tidak akan tercapai kecuali setelah jiwa itu dapat dibersihkan dari kekotoran yang menghijab serta menutupinya.

Semua ini berpandukan pada kebersihan hati, maka kerana itu pembersihan hati sangat diberikan penekanan dalam tasawwuf. Berasaskan persepsi ajaran tasawwuf, kebersihan hati akan membawa seseorang itu merasai kebenaran tauhid al-af`al. Pada tingkatan ini, seseorang itu akan memperolehi keyakinan yang benar-benar terhadap qada’ dan qadar-Nya, di mana hatinya selalu ingat dan sedar bahawa segala kejadian itu adalah berpunca dari qudrah dan iradah Allah SWT., yang disebaliknya pasti ada hikmah tersendiri. Usaha menghadapi pelbagai bentuk ujian kehidupan, tasawwuf menganjurkan supaya seseorang itu memperkukuhkan hubungan dengan Tuhan dengan memperteguhkan ketaqwaan.

Metod mencari jalan kembali kepada Allah SWT (inabah) bermula melalui proses tazkiyat al-nafs iaitu proses penyucian hati manusia yang perlu ditempuh untuk mengembalikannya kepada asal kejadiannya yang suci bersih daripada kekotoran dan pencemaran ruhani (perubahan dari jantung fizik kepada jantung ruhani). Manusia pada asal kejadiannya berada pada naluri (fitrah) yang bersih dengan memiliki ruh makrifat ketuhanan, keyakinan dan sifat kemuliaan, namun pengaruh tertentu telah mencemarkan naluri yang bersih ini sehingga ia menjadi kotor dan perlu dibersihkan kembali. (bay)

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *